Welcome

Thursday, April 28, 2011

~SELANGKAH MENDEKATI ALLAH (2)~





matahari memancarkan cahayanya terang benderang,
menerangi separuh pelusuk alam ini di waktu siang,
sedangkan bulan pula menyinarai separuh lagi alam,
berserta bintang bintang menerangi pula kegelapan malam. 
                       

namun peraturan ini selang seli silih berganti,
ditadbir penciptanya yang Maha Agung Maha Tinggi,
di sebalik semua cahaya itu yang terang menerangi,
terpancar lagi cahaya yang sinarnya tidak terperi,


pancaran itu cahayanya iman dan cahayanya islam,
yang menyinari hati-hati di  seluruh pelusuknya alam,
demi sesungguhnya kasih Allah kepada umat manusia,
agar menikmati kehidupan di dunia ini penuh bahagia,


namun apa pun makhluk yang bernama manusia,
sering lupa diri dalam kehidupan yang penuh sia-sia,
diutuskan pula dengan para utusan serta junjungan,
agar manusia sentiasa sedar dan tetap di atas landasan.





manusia itu fitrahnya cepat pelupa dan sering lalai
harus sentiasa diperingati perintah Allah jangan diabai,
dalam mengharungi kehidupan duniawi dengan penuh sabar,
demi kelangsungan ukhrawi yang perit lagi mencabar.


di kalangan banyaknya para rasul dan anbia membawa salam,
diutusNya seorang rasul pembawa rahmat bagi seluruh alam,
dialah seorang rasul pembawa risalah yang tidak lagi samar,
mengingati manusia dengan peraturan Allah yang sebenar-benar.


nabi junjungan sesungguhnya engkaulah ya Muhammad,
nabi yang sentiasa kasih dan tidak pernah lupakan umat,
berkorban apa saja agar umatnya sentiasa celik akal dan hati,
bahawa sesungguhnya ada dunia lain yang lebih kekal lagi abadi.


ya Rabbi, sesungguhnya kami bahagia menjadi umat Muhammad,
yang tebusan dosanya Engkau terima dengan lima waktu bersolat,
umat yang terakhir masanya di dunia tetapi terdahulu di hari kiamat,
yang Engkau janji mengampuni segala dosa apabila kami bertaubat.


ketika Muhammad dimikraj ke langit hingga ke Sidratul Muntaha,
yang tidak seorang maupun malaikat yang pernah melampauinya,
antara dimohonnya agar diampuni dosa dan jangan dibebani umatnya. 
diperkenan Allah bagi umatnya yang bertauhid dan percaya kepadanya.


satu-satunya nabi yang dikurniakan Allah akan syafaat,
maka kata baginda syafaat itu ditangguhkannya kelak untuk umat,
syurga juga haram bagi semua nabi sebelum masuknya Muhammad,
diharamkan juga kepada lain umat, diutamakannya umat Muhammad.


manusia pertama yang dibangkitkan pada hari kebangkitan,
pertama yang ditanya baginda dimanakan umatnya sekelian,
kepada Allah dimohon segala keampunan dan keberkatan,
demi umatnya yang baginda kasihi dan tidak pernah lupakan.


diberi ketahui kepada umatnya di mana baginda di hari mahsyar,
baginda memberi minum kepada yang kehausan di telaga kautsar,
memimpin umatnya mendahului melintasi titian sirat yang halus,
mana yang tergelincir di tariknya agar ke neraka tidak terjerumus.


apa yang diharapkan umatnya daripada Muhammad,
insyaAllah akan dimakbulkan Allah akan segalanya hajat,
tetapi semuanya itu akan termakbul dengan bersyarat,
kepada Muhammad tidak akan pernah lupa untuk berselawat.


seseorang yang memberi salam kepada baginda sesudah matinya,
melainkan datanglah Jibril memberitahu kepada baginda akan salamnya,
"ya Muhammad! si fulan bin si fulan telah memberi salam padamu",
"dan padanya juga balasan salam dan rahmat Allah serta berkatnya itu",


pernah dikhabarnya doa itu tertahan di antara langit dan bumi,
tidak dapat naik sehinggalah dibacakan akan selawat Nabi,
siapa mendengar nama baginda disebut lalu tidak membaca selawat,
sehingga mati dan masuk neraka, dia dijauhkan Allah dari rahmat.


kepada sesiapa yang membaca selawat ke atas Nabi seratus kali,
Allah akan memenuhi seratus hajatnya sebelum dan sesudah mati,
tujuh puluh dari hajatnya di akhirat dan tiga puluh hajatnya di dunia,
adakah kita mahu terlepas begitu sahaja tanpa mahu kita berusaha?


sesiapa yang membaca selawat untuk Nabi walaupun sekali,
Allah memberi selawat untuknya berganda sepuluh kali,
dihapuskanNya pula akan sepuluh kesalahan dan dosa-dosa,
adakah kita sudah banyak pahala dan mahu mempersia-sia?

sebagai umat Muhammad sebenarnya kita amat bertuah,
ibarat sepohon rendang yang sentiasa mengeluarkan buah,
jasa baginda tersangat besar dan tidak ada tolok bandingan,
marilah kita berazam memperbanyakkan selawat dari sekarang.




sesungguhnya Allah dan para malaikatNya berselawat kepada nabi,
wahai orang beriman, berselawatlah dan ucapkan salam kepada nabi,
sesungguhnya orang paling dekat dengan baginda pada hari kiamat,
adalah mereka yang paling ikhlas dan paling banyak berselawat.


wahai diri, anak-anak, saudara mara dan rakan taulan,
marilah kita ambil iktibar dan jadikannya sebagai teladan,
kita basahikanlah lidah dengan zikir dan selawat setiap hari,
agar tidak gawat saatnya kita kembali dan bertemu nabi.






"Allahumma solli 'ala Muhammad wa 'ala aalihi wa as-haabihi ajma'iin",
ya Allah! kurniakanlah kepujian ke atas Nabi Muhammad, ahli keluarga dan para sahabat baginda.


Ingatlah... Basahkan lidahmu dengan zikrullah dan selawat ke atas junjungan mulia Muhammad s.a.w. 

.....MAJULAH SELANGKAH MENDEKATI ALLAH.....



No comments:

Post a Comment